Adam di Firdaus dan Tiga Sajak Lain Subagio Sastrowardoyo

(image from: pinterest.com)

JARAK
Bapa di sorga.
Biar kita jaga jarak
ini antara kau dan aku
Kau hilang dalam keputihan ufuk
Dan aku tersuruk ke hutan buta.
Hiburku hanya burung di dahan
dan jauh ke lembah
gerau pasar di dusun.
Aku tahu keriuhan ini
hanya sekali terdengar
Sesudah itu padam segala suara
dan aku memburu ke pintu rumah.
Bapak di sorga,
biarlah kita jaga jarak ini
Sebab aku ini manusia mual
Sekali kau tampak telanjang di hutan
aku akan berteriak seperti Yahudi :
“Salib!”
Dan kau akan tinggal sebungkah
lumpur lekat di kayu.
EKSPRESI
kepada Affandi
Luka terlalu parah
tak tertampung dalam cermin
Tubuh yang terbayang
sepi — menepiskan bentuk.
Bahkan merah hitam
yang terpalut di atas kanvas
tak kuasa menjeritkan
derita — menikam dalam.
Hanya darah, mungkin
Darah sendiri yang tergarit dengan jari
di dinding — jari yang gementar dalam lapar.
ADAM DI FIRDAUS
Tuhan telah meniupkan nafasnya
ke dalam hidung dan paruku
Dan aku berdiri sebagai adam
di samping sungai dua bertemu.
Aku telah mengaca diri
ke dalam air berkilau. tiba aku terbangun
dari bayanganku beku:
Aku ini makhluk perkasa dengan dada berbulu.
Aku telanjangkan perut dan berteriak:
“Beri aku perempuan!” dan suaraku
pecah pada tebing-tebing tak berhuni
Dan malam Tuhan mematahkan
tulang dari igaku kering dan menghembus
nafas di bibir berembun. Dan
subuh aku habiskan sepiku pada tubuh bernafsu
Ah, perempuan!
Sudah beratus kali kuhancurkan badanmu diranjang
Tetapi kesepian ini, kesepian ini
datang berulang.
MERAH
aku suka kepada merah
kerana mengingat kepada darah
yang berteriak ke arah sawang
merebut terang.
darah mengalir
waktu lahir
darah mengalir
waktu akhir
darah
getah bumi
membeku
pada aku
dalam darah
berbayang
nyawa
pucat bagai siang.
KAMPUNG
Kalau aku pergi ke luar negeri, dik
kerana hawa di sini sudah pengap oleh
fikiran-fikiran beku.
Hidup di negeri ini seperti di dalam kampung
di mana setiap orang ingin bikin peraturan
mengenai lalu lintas di gang, jaga malam dan
daftar diri di kemantren.
Di mana setiap orang ingin bersuara
dan berbincang tentang susila, politik dan agama
seperti soal-soal yang dikuasai.
Di mana setiap orang ingin jadi hakim
dan mengeroyok keluarga berdansa, orang asing
dan borjuis yang menyendiri
Di mana setiap tukang jamu disambut dengan hangat
dengan perhatian dan tawanya.
Di mana ocehan di jalan lebih berharga
dari renungan tenang di kamar.
Di mana curiga lebih mendalam dari cinta dan percaya.
Kalau aku pergi ke luar negeri, dik
karena aku ingin merdeka dan menemukan diri.

Dikutip dari kumpulan puisi Simfoni (1957) oleh Subagio Sastrowardoyo (1924-1995), penyair Indonesia yang lahir di Madiun, Jawa Timur. Selain menulis puisi beliau juga seorang pensyarah, cerpenis, kritikus sastera dan eseis.

Kenapa Kita Perlu Menulis?

(image by: pinterest.com)
Oleh: Hamid Dabashi
Tahun ini menandakan ulang tahun kelima saya mendapat keistimewaan luar biasa yang diberikan Al Jazeera untuk saya ruang di mana saya dapat bercakap kepada masyarakat antarabangsa. Sesuatu yang saya tidak pernah jangkakan atau bayangkan dalam perjalanan hidup saya sebagai seorang sarjana yang tidak dikenali.
Di samping rasa berterima kasih yang saya rasai, terdapat soalan yang lebih asas lagi mengapa orang seperti saya menulis? Apa sebenarnya yang kita capai dengan menulis seperti ini? Adakah kita hanya sekadar berdakwah kepada mereka yang telah pun beriman ataupun menambah suara yang tidak perlu di dalam kamar gema yang dipenuhi dengan orang yang sama pendapat dengan kita.
Jawapannya adalah tidak sama sekali! Kenyataan bahawa kita semua di dunia ini berada di satu persimpangan di mana kita boleh memilih satu jalan atau jalan yang lainnya. Kita menulis kerana dunia memerlukan pengetahuan kritikal untuk membuat keputusan yang betul.
Daripada kemusnahan alam sekitar yang kita hadapi–dan masih terdapat mereka yang berkuasa menafikannya– sehingga peperangan, kebuluran, penyakit dan tindakan ganas yang mengancam seluruh dunia, kita menulis untuk mencari jalan keluar daripada lembah kematian dan kemusnahan ini.
Jentera negara besar-besaran
Kita menulis untuk melawan aparat negara yang menyebarkan dis- danmisinformation, propaganda dan sejarah yang dipalsukan. Seperti kes-kes Edward Snowden, Julian Assange, dan Chelsea Manning jelas menunjukkan, maklumat amat penting dan pemikiran kritikal adalah yang paling sesuai untuk masa depan kita sebagai manusia yang merdeka.
Negara yang sepatutnya mendapat kuasa daripada kita, kini menguasai kita dengan pelbagai bentuk kezaliman dan kerahsiaan. Kita menulis untuk mengatakan tidak atas salah guna kuasa sistemik oleh mereka yang berkuasa.
Kita menulis kerana dunia berada dalam keperluan yang sangat mendesak untuk pembetulan naratif-dan kerana kita telah lama terperosok dalam perang antara kejahilan yang menzalimi dan pembebasan yang mencerahkan.
Kita menulis kerana naratif palsu antara Sunni Arab melawan Syiah Iran, yang dihasilkan oleh komplot agresif rejim pemerintah di rantau ini dan media di seluruh dunia kini mengancam untuk merobek seluruh dunia Islam agar berpecah belah.
Anda mungkin dapat membantah bagaimana seseorang, atau sekumpulan manusia, atau jawatan politik atau ideologi dapat secara angkuh merasakan lebih tercerahkan berbanding yang lain. Hakikatnya kita tidak mungkin begitu – dan elemen kerendahan hati dan kesanggupan untuk belajar daripada keadaan yang pelbagai dan jalan yang benar adalah yang membezakan satu jalan dengan jalan yang lainnya.
Hukum mudahnya adalah semakin sedikit seseorang itu tahu tentang sesuatu, semakin bertambah keyakinan bahawa terlalu sedikit perkara yang mereka telah tahu. Semakin banyak mereka mengetahui maka pertimbangan mereka lebih bernuansa, seimbang, sederhana, saksama, tidak rigid dan kritikal.
Hari ini kejahilan global tentang Islam, dinamik dalaman dunia Arab dan Muslim dan juga kempen yang berterusan dan dengan sengaja memalsukan kejahilan dan disinformasi adalah syarat yang sama digunakan oleh pengganas Islamis dan juga kempen perang ke atas keganasan yang bertujuan untuk melawannya tetapi berakhir dengan memburukkan lagi keadaan.
Hari ini, Abu Bakr al-Baghdadi bersama kumpulan Islamisnya dan Richard Dawkins bersama kumpulan persaudaraannya iaitu New Atheists mendominasi wacana Islamisme dan atheisme. Antara dua golongan yang tidak bertamadun ini (satu berjanggut penuh dan satu lagi dicukur bersih) nasib kemanusiaan tergantung di tengah dan berharap kepada capaian pengetahuan yang perlu diketengahkan secara konsisten, sistematik dan berani.
Kejahilan dan sikap tidak peduli
Oleh itu, kita menulis untuk membantu mengubah sifat produksi ilmu yang penting untuk kelangsungan hidup planet ini dan kewarasan bersama untuk kita di bumi ini.
Gabungan kejahilan dan ketidakpedulian telah melanda dunia ini, namun di tengah-tengah perkara ini bangkit mereka yang berani di empat penjuru dunia untuk menentang pemerintahan tirani, perkauman dan xenophobia, kezaliman mercenari upahan yang barbarik, pelobi perang secara ganas antara negara-negara, ketamakan korporat menarik dunia ke pinggir kemusnahan menyebabkan perhimpunan besar-besaran menentang langkah-langkah penjimatan di seluruh dunia ini.
Kita menulis kerana kita berada dalam keadaan yang kritikal dalam sejarah negara-negara yang paling berkuasa di seluruh dunia, negara-negara yang keputusannya mempunyai kesan besar bagi dunia amnya.
Selepas gerakan Hak Asasi dan Anti-Perang di Amerika Syarikat dan Eropah pada sekitar tahun 1960an, muncul jalur pemikiran yang penting mencabar secara mutlak dunia akademik dan komuniti intelegensia di negara-negara tersebut.
Tetapi di bawah momen yang traumatik seperti peristiwa 9/11, kita telah menyaksikan kemunculan sentimen kepala batu, mundur, perkauman, misoginis dan keganasan homophobik dan xenophobik pada hari ini. Paling jelas tetapi tidak terhad hanya kepada calon presiden Republikan, Donald Trump di Amerika Syarikat dan kebangkitan sayap kanan Eropah yang rasis seperti Marine Le Pen di Perancis dan Pegida di Jerman.
Muslim tidak terkecuali daripada keperluan pemikiran yang kritikal. Mereka juga telah terperangkap ke satu sudut dengan kejahilan mereka sendiri, rasuah, kezaliman dan pemimpin yang mundur. Mereka terpaksa untuk memilih antara “sekularisme” asing yang mempunyai pertentangan dalaman dan Islamisme yang pasif atau militan. Kedua-duanya adalah asing kepada mereka. Kita menulis kerana umat Islam juga memerlukan wacana kritikal untuk memulihkan semula warisan intelektual mereka sendiri dalam dunia yang telah jauh berubah.
Gelombang kebangkitan revolusi melanda di sebahagian besar dunia Arab dan Islam, namun mobilisasi kontra revolusi berusaha untuk menggagalkan dan meremukkannya yang secara tidak langsung membantu melahirkan makhluk ganjil yang bernama ISIL (Islamic State of Iraq and the Levant).
Hari ini ia seolah-olah semua revolusi itu tidak pernah berlaku sama sekali dan “penyelidik” yang jahil dan keliru sibuk meraban menghasilkan sesuatu yang tidak masuk akal bertentangan dengan semua bukti sejarah dan politik, dan kemudian mencadangkan keganjilan tersebut sebagai “revolusi” yang memerlukan perbincangan ilmiah, antropologi “kerja lapangan” dan teorisasi yang keliru.
Maklumat palsu yang disengajakan
Kita menulis kerana jika tidak peningkatan wacana jahil bercampur dengan kezaliman tirani dan bergabung dengan disinformasi yang sengaja mahu mengubah bacaan kita tentang realiti dan menjunamkan kita terjerumus ke dalam peperangan, keganasan dan kekecewaan.
Hari ini dunia adalah medan perang idea yang kritikal. Ketidakpedulian dan kepentingan peribadi mereka yang mendustakan perubahan iklim telah menolak dunia ini kepada kemusnahannya. Ketamakan korporat bersedia untuk mengubah definisi tentang apa ertinya menjadi seorang manusia.
Berjuta-juta manusia merantau ke serata dunia sebagai pelarian dan migran dalam mencari hidup yang lebih baik, berdepan perkauman dan sesetengahnya xenophobia, dialu-alukan dengan tangan terbuka oleh pihak lain. Bahkan berjuta-juta lagi manusia yang tidak mampu untuk bertahan dengan langkah-langkah penjimatan keterlaluan yang dikenakan ke atas mereka oleh bank-bank dan pengawal selia.
Nasionalisme etnik, sektarianisme agama, perkauman yang berleluasa dan keganasan xenophobia bergabung untuk menjadikan jiran curiga kepada jiran mereka. Dinding penjajahan apartheid yang terlewat datang dan pemisahan tamadun yang direka telah didirikan di Palestin, Eropah dan Amerika Syarikat.
Kita menulis kerana di saat ini kita lebih memerlukan kewarasan, penalaran, kesedaran termaklum, debat yang bertamadun, pemikiran kritikal, semuanya diusahakan dengan rendah hati dan toleransi ke arah mendapatkan kebaikan awam, ruang bersama, masa depan yang dikongsi bersama oleh semua makhluk di dunia ini untuk bertahan dengan rasa hormat, dengan harapan, dengan tidak berbelah bahagi untuk menjadikan hidup anak-anak kita lebih selamat dan berkembang maju di dunia yang berharga ini.

*Hamid Dabashi adalah Hagop Kevorkian Professor of Iranian Studies and Comparative Literature di Columbia University di New York.

Diterjemahkan oleh Tarmizi Anuwar daripada tulisan asal yang terbit di aljazeera.com.